Tuesday, March 17, 2020

Pentingnya sumber sejarah


                   Prasasti Kedukan Bukit Sumber penting sejarah di Nusantara
Sejarah adalah satu cabang ilmu yang sangat penting baik dari segi ilmiah atau pun pembangunan negara. Salah satu buktinya ialah mewajibkan mata pelajaran Sejarah di sekolah hingga tingkatan lima. Di alam Melayu, istilah sejarah berasal dari perkataan Arab iaitu syajarah yang bererti pokok. Sesetengah sejarawan seperti Drs. T. Ibrahim Alfian dan Pyan Husayn mengatakan kemungkinan sejarah berasal dari perkataan syajaratun yang bermaksud pokok atau pohon yang akhirnya membawa erti salasilah, riwayat, keturunan dan asal usul. Kenyataan tersebut mungkin ada kebenarannya kerana bangsa Arab memang suka membuat salasilah keluarga yang berbentuk pokok (Arba'iyah Mohd Noor; 2002: 5). Secara umumnya, sejarah adalah penyelidikan terhadap peristiwa masa lalu. Sejarawan pula menyelidiki rekod-rekod lalu bagi mengkaji sejarah atau peristiwa yang telah berlalu. Para pengkaji sejarah menggunakan sumber-sumber sejarah bagi menghasilkan penulisan sejarah berdasarkan sumber-sumber sejarah ini. Sumber-sumber sejarah ini pula telah wujud dalam pelbagai bentuk. Dengan kepelbagaian bentuk sumber dan jenisnya ini ada ahli sejarawan yang meragui sesetengah sumber sejarah itu dan menganggapnya hanya satu hiburan atau cerita khayalan yang dikarang oleh penulis seperti pendapat  J. C. Bottoms misalnya mengatakan bahawa orang Melayu, hinggalah ke abad 20, menganggap sejarah sebagai hiburan. Mereka tidak dapat membezakan antara kebenaran dan khayalan. Sehingga tahun 60an, buku-buku sejarah Malaysia seperti Sejarah Melayu, Misa Melayu dan Tuhfat al-Nafis dianggap oleh kebanyakan sarjana-sarjana Barat sebagai tidak ilmiah dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber sejarah. Tetapi pendapat-pendapat seperti ini telah dibetulkan oleh sejarawan-sejarawan Malaysia dan Barat hingga keutuhan sumber sejarah dalam bahasa Melayu diterima sebagai ilmiah (Zainal Abidin bin Abdul Wahid; 1999: 1).
Ilmu sejarah memerlukan sumber dan bukti untuk berdiri sebagai satu cabang ilmu. Dalam penyelidikan sejarah terdapat dua keperluan asas iaitu sumber dan bukti. Bagi golongan objektif pula ilmu sejarah tidak dapat berdiri tanpa sumber (Abdul Rahman; 1994: 69). Sumber sejarah sangat penting dalam menghasilkan satu penulisan sejarah. Apakah yang dikatakan sumber?. Menurut Muhd Yusof Ibrahim, sumber merupakan suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan. Menurut Oxford English Dictionary, sumber bermaksud sebuah karya dan lain-lain yang menyediakan maklumat atau bukti (khususnya bersifat tulen dan asli) berkaitan dengan fakta, kejadian atau peristiwa tersebut. Manakala maksud sumber dalam Kamus Dewan, beerti keterangan atau bukti yang bertulis atau bercetak, surat yang boleh dijadikan keterangan atau bukti seperti surat beranak, nikah dan lain-lain. Ahli sejarah pula seperti Collingwood mengatakan, sumber ialah “apa pun adalah bukti yang membolehkan anda untuk menjawab soalan anda”, bermaksud bahan-bahan yang menyediakan bukti berkenaan sesuatu yang dikaji. Garraghan pula mendefinisikan sumber sebagai disiplin sejarah yang merangkumi berbagai bentuk, jenis dan rupa. Suntharalingam pula berkata, sumber dalam sejarah sama maksudnya dengan ‘punca’, ‘dokumen’, ‘rekod’. Pada lazimnya sumber-sumber sejarah diertikan sebagai bahan yang bertulis atau bercetak. Secara am, sumber diertikan sebagai kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan. Namun begitu bagi golongan subjektif pula berpendapat, sejarah tidak bergantung kepada autoriti sumber atau fakta, tetapi kepada pemikiran atau tafsiran terhadapnya. Sumber itu berbeza dengan ilham kerana sumber tidaklah bersifat abstrak ataupun spontan.tetapi sumber boleh dirujuk apabila diperlukan. Sumber juga dikatakan sebagai sekumpulan bahan yang tersimpan di arkib, perpustakaan, muzium, istana dan sebagainya. Ia digunakan sebagai bahan bagi tujuan penyelidikan dalam semua bidang ilmu tidak terhad kepada bidang sejarah sahaja (Muhd Yusof ibrahim; 1986: 65). Sebenarnya sumber sejarah telah lama wujud dalam pelbagai bentuk samaada ditulis pada kertas, dipahat, diukir pada batu atau kayu dan sebagainya. Pada peringkat awal, sumber ialah sekumpulan bahan-bahan yang tersimpan di tempat yang khusus seperti arkib, perpustakaan, muzium, pejabat menyimpan rekod, istana ataupun di rumah-rumah orang perseorangan. Sejarawan yang ingin melakukan penyelidikan haruslah mengesan serta mengenal pasti akan sumber-sumber yang diperlukan.
Dalam pengajian sejarah terdapat dua sumber, iaitu sumber pertama dan sumber kedua. Sumber pertama juga di sebut sumber primer ialah sumber yang terjadi pada masa tertentu dan diselidik oleh ahli sejarah.Ia merupakan bahan mentah yang belum diproses untuk dijadikan karya-karya sejarah.Biasanya sumber pertama ini dalam keadaan asli atau belum ditafsir dan dilengkapkan lagi (Arba’iyah; 2002: 51). Contohnya, bahan yang berupa dokumen, surat, sama ada yang rasmi ataupun sebaliknya, catatan, laporan, buku harian, warkah, watiqah dan titah perintah dan kadangkala akhbar serta majalah dan peringatan boleh juga dianggap sebagai sumber utama. Dokumen-dokumen sejarah tanah air kita, berkaitan dengan penjajahan British, kumpulan dokumen yang berkaitan terdapat di Pejabat Tanah Jajahan di London, surat perjanjian seperti surat perjanjian Pangkor yang ditandatangani di Pulau Pangkor di antara Raja Abdullah dengan Andrew Clark. Manakala contoh sumber sejarah Kesultanan Melayu Melaka ialah catatan dan laporan oleh orang Cina, Arab, Portugis dan juga Belanda, buku Salatus Salatin yang merupakan sumber sejarah melayu, dan diperbaharui dan diperbaiki oleh Tun Seri Lanang pada tahun 1612. Naskah yang berjudul Hukum Kanun Melaka (44 fasal), Undang- undang Laut Melaka (25 fasal). Bahan ini menjadi sumber utama disebabkan keadaannya yang merupakan sumber yang pertama mencatat sesuatu peristiwa yang berlaku. Biasanya sejarawan akan memilih dokumen-dokumen yang berupa premier kerana sumber ini memberikan maklumat yang benar untuk diselidiki (Arba’iyah; 2002: 51).
           

Sumber pertama yang bukan bertulis ialah informasi lisan dan sumber yang diperolehi daripada artifak dan sebagainya. Sumber premier ini sangat berharga bagi pengkaji sejarah serta mempunyai nilai yang tinggi sebagai sumber bagi menghasilkan penulisan sejarah. Ahli sejarah memberi penghargaan kepada sumber-sumber yang belum bercetak kerana sumber tersebut lebih sahih berbanding dengan bahan yang sudah dicetak. Sebagai contoh candi di Lembah Bujang, Kedah adalah salah satu sumber pertama yang sangat penting dalam penulisan mengenai kewujudan kerajaan Kedah Tua di Semenanjung Tanah Melayu. Begitu juga dengan batu bersurat yang dijumpai di Terengganu yang menjadi sumber utama tentang kedatangan islam ke alam Melayu serta matawang timah zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka yang menjadi bukti kepada keagungan kerajaan Melaka. Untuk mengesahkan sumber-sumber pertama itu benar-benar tulen, maka perlulah dilakukan kajian dengan dua cara iaitu cara dalaman dan cara luaran (Bahasa Othman; 1989: 3). Kajian cara dalaman ini bergantung kepada pengalaman,pengetahuan, dan kepakaran ahli sejarah yang membuat kajian.
Sumber kedua atau skunder merujuk kepada perkataan asal (catual word) di mana individu yang terlibat atau telah menyaksikan sesuatu peristiwa, atau seseorang yang menerima maklumat dari mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut. Kajian-kajian ataupun penulisan-penulisan yang telah dilaksanakan oleh seseorang mahupun sesuatu kumpulan, tentang sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh dan sebagainya. Kajian ini berdasarkan sumber utama. Kajian ini juga haruslah melalui suatu tatacara atau kaedah penyelidikan yang teratur supaya hasilnya akan merupakan suatu hasil yang boleh diterima kebenarannya. Menurut Raja Ali Haji, sejarawan yang terulung pada kurun ke-19, “supaya terpakai”. (Tuhfat al-Nafis; 1965: 379) Sumber kedua ini merupakan tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan dan malahan andaian yang dibuat oleh seseorang pengkaji terhadap perkara-perkara yang dikajinya dengan bersandarkan sumber utama yang berkaitan. Sumber kedua digunakan oleh penyelidik sebagai rujukan, perbandingan, ungkapan bagi  mengukuhkan pandangan serta serta tafsirannya terhadap perkara yang dikajinya. Contohnya buku-buku, majalah dan juga akhbar, latihan ilmiah, tesis, karangan ataupun esei yang menganalisis sesuatu isu yang penting. Di antara contoh karya yang menjadi sumber kedua bagi penulisan sarjana barat adalah Indigenous Political System of Western Malaya (1965) karya J. M Gullick. Contoh penulisan tempatan pula adalah Kesultanan Melayu Melaka (1989) karya Muhammad Yusoff Hashim. Penulisan Sarjana sejarah menjadi sumber yang amat penting bagi menggambarkan tentang seseorang pengkaji itu terhadap perkara dan juga terhadap alam persekitaran masa lalu yang dikajinya. Begitu juga sumber tempatan yang dihasilkan bukan sahaja untuk Sejarah Melaka, tetapi bagi tahap-tahap lain di dalam sejarah tanah air.
Selain sumber-sumber yang disebutkan, sumber lisan juga menjadi sumber dalam penulisan sejarah, ini kerana masyarakat lampau menyampaikan ingatan mereka mengenai peristiwa masa lalu melalui lagenda, mitos dan balada. Kisah-kisah yang terdapat di dalam ketiga-tiganya ini sering bercampur aduk. Walaupun ia berkecamuk ia masih memberi sedikit sebanyak penerangan dan maklumat tentang kepercayaan, adat dan tingkah laku manusia zaman itu. Dari kisah yang diceritakan pula, di sokong oleh sumber pertama seperti bukti kewujudan bangunan ,makam, catatan dan sebagainya akan mengesahkan lagi kebenaran sumber lisan itu. Sebagai contoh sejarah asal usul pembukaan Kampung Jeram, Kuala Selangor yang mana sumbernya dari sumber lisan diceritakan oleh orang – orang tua Kampung Jeram dan dibuktikan cerita tersebut dengan terjumpanya empat batu nisan bertulisan siam. Dimana ia membuktikan Kampung Jeram dibuka oleh tentera siam semasa menyerang Melaka.
( Ahmad Busu ; 1996 : 8). Sumber Lisan ini didapati daripada pertuturan atau perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa yang berlaku, tidak ditulis atau dirakam melainkan tersimpan dalam ingatan tokoh yang terlibat atau penyaksi melalui temubual, perbincangan dan sebagainya barulah sumber ini dirakam atau ditulis. Sumber lisan dikategorikan kepada sumber utama dan kedua. Sumber utama iaitu orang yang terlibat, penyaksi dalam sesuatu peristiwa sejarah itu, mereka boleh memberikan maklumat asal tentang peristiwa yang mereka saksikan .Jika sumber lisan itu di rakam dalam pita suara ia dikira sebagai sumber utama. Begitu juga sumber lisan itu ditulis ia menjadi sumber utama yang bertulis dan tidak lisan lagi. Sumber kedua pula ialah maklumat daripada mereka yang tidak menyaksikan atau terlibat dalam sesuatu peristiwa yang diterangkan. Terdapat tiga kategori sumber lisan pertama, keterangan Proto iaitu keterangan lisan yang dituturkan oleh pelaku yang telah terlibat dalam sesutu peristiwa yang dikaji keterangan tersebut merujuk kepada peranan dan pengalaman peribadi atau penglibatan secara langsung dalam peristiwa berkenaan, sebagai contoh keterangan hidup di zaman pemerintahan Jepun.Kedua, keterangan saksi mata iaitu keterangan yang diceritakan oleh seseorang yang melihat peristiwa yang telah berlaku ataupun sekadar menyaksikan didepan mata dan tidak terlibat secara langsung. Ketiga, keterangan kata dengar iaitu keterangan yang diceritakan oleh seseorang  yang diketahui melalui sumber orang lain atau mengetahui perkara tersebut semata-mata apa yang didengarnya sahaja. Terdapat anggapan yang menyangsikan kewibawaan sumber-sumber lisan, seolah-olah dan boleh merupakan suatu putar-belit serta gambaran sewenang-wenang atau refleksi imaginatif para penyaksi atau pelaku. Oleh itu faktor keakhlakan penyaksi itu paling penting dalam menyatakan sesuatu peristiwa itu. Kejujuran, keimanan, keikhlasan memberikan sumber lisan, tidak akan memutar belitkan fakta. Pengkaji dan penulis sejarah boleh membuat perbandingan diantara sumber yang diberikan melalui lisan sama ada benar atau tidak.
Sumber lisan adalah sumber  terawal dan tertua dalam sejarah terutamanya sejarah yang tidak mempunyai rekod rasmi dan cacatan. Dalam keadaan kurangnya sumber-sumber bertulis bagi sesuatu peristiwa yang dikaji sumber lisan adalah penting dalam penulisan sejarah. Dalam keadaan sumber lisan itu adalah satu-satunya sumber yang boleh diperoleh tentang sesuatu peristiwa itu ataupun dalam keadaan sumber itu datangnya dari tokoh-tokoh negara ia memberi penerangan dan gambaran yang sewajarnya tentang sesuatu peristiwa yang berlaku dalam suatu tempoh yang lalu dan bukan dikhayalkan. Sumber lisan amat penting dalam penulisan sejarah walaupun sumber ini dalam bentuk, lagenda, mitos dan balada. Namun begitu tidak semua sumber lisan harus diterima secara mutlak. Sebagai prasyarat menuju kebenaran sejarah, seharusnya sejarawan bersikap ragu – ragu sebelum menerima atau mempercayai kebenaran sumber itu.
            Usaha “heuristik” iaitu mencari dan mengumpul sumber – sumber sejarah untuk menghasilkan penyelidikan dan sumber sejarah. Sumber yang berbentuk arkeologi, tinggalan  - tinggalan bangunan adalah sumber yang amat penting dalam penghasilan  penulisan sejarah dan tidak dapat dipertikaikan lagi kesahihannya. Sumber lisan iaitu seperti warisan sastera rakyat dalam bentuk mitos, lagenda dan kisah tokoh – tokoh tertentu juga tidak dinafikan kepentingannya sebagai sumber sejarah. Ini kerana sumber lisan inilah yang menjadi sumber utama terhadap penulisan sejarah khususnya mengenai sejarah di Nusantara ini. Walaupun ia tidak mengandungi unsur- unsur yang tidak bersifat sejarah tetapi ia mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam menjadi sumber sejarah itu sendiri. Jika sumber lisan ini ditolak secara keseluruhannya, maka amat sedikitlah sumber sejarah negara Malaysia serta asal usulnya yang merangkumi nusantara ini. Sumber lisan ini sudah tentulah dikaji dan diteliti sebelum ia menjadi sumber sejarah bagi penulisan serta disokong oleh sumber yang sahih dari peninggalan arkeologi dan sebagainya. Untuk itu, usaha pemeriksaan dan penilaian yang disebut sebagai kritikan sumber dijalankan iaitu kritikan luaran dan dalaman. Kritikan luaran dilakukan dengan cara mengenal pasti ketulenan dan keaslian sumber sejarah itu. Sekiranya ia palsu sudah pastilah ia tidak menjadi sumber sejarah lagi.Untuk itu ia disokong oleh ilmu bantu lain seperti bidang sains, arkeologi, bahasa dan sebagainya. Manakala kritikan dalaman pula ditekankan kemunasabahan sesuatu sumber itu, sama ada ia logik atau tidak iaitu tidak bercanggah dengan hukum akal dan alam. Pemikiran yang saintifik dan logik amat perlu dalam menerima atau menolak sesuatu sumber itu. Sebenarnya dalam islam tradisi kritikan sumber telah wujud sejak sekian lama lagi khususnya dalam penilitian Ilmu hadith iaitu melalui kajian sanad atau periwayatan hadis dan kajian matan atau isi kandungan hadis tersebut.
Sumber sangat penting dalam kajian atau penyelidikan sejarah. Dalam usaha menghasilkan sesuatu karya sejarah, sejarawan mestilah berusaha mendapatkan sumbernya kemudian memilih memilih sumber tersebut, bukan memilih mana-mana yang sesuai untuk digunakan tetapi mana-mana yang ada kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa yang dikajinya. Sejarawan harus mengkaji serta menganalisis sumber-sumber itu, mendapatkan fakta dan seterusnya untuk membolehkan melakukan penulisan serta membuat tafsiran terhadap peristiwa berkenaan. Kebenaran sejarah merupakan perkara penting dalam menghasilkan penulisan sesuatu kajian sejarah.( Ishak Saat ; 2007 : 37 ). Untuk itu, penafsiran sumber dengan tepat adalah perlu dalam menghasilkan penulisan sejarah. Penulis tidak boleh menulis dengan sesuka hati, tanpa merujuk fakta dan sumber yang tepat. Sumber adalah penting bagi ahli sejarah dalam menjalankan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan penulisan. Herodotus ( 484 – 424 S.M. ) iaitu bapa sejarah menggunakan sumber kedua dalam menghasilkan karyanya iaitu Histories atau Sejarah Perang Parsi. Herodotus menjelajah ketempat – tempat berlakunya peperangan serta menemuduga waris yang terlibat serta mendapatkan rekod – rekod tentang catatan peristiwa perang antara Parsi dengan Greek ( 490 – 480 S.M. ). Manakala Thucydides ( 460 – 400 S.M ) telah menggunakan sumber pertama dengan melihat sendiri, terlibat secara lansung serta menemuduga orang yang terlibat secara lansung dalam peperangan Peloponnesia dalam menghasilkan bukunya iaitu Sejarah Perang Peloponnesia. Bagi penulisan sejarah moden kedua – dua sumber iaitu sumber pertama dan kedua diambil kira dalam penghasilan karya sejarah. Sumber adalah keperluan hakiki dalam penulisan sejarah. Tanpanya sejarawan tidak berupaya menghasilkan pensejarahan yang hakiki. (Ishak Saat; 2007: 39)





Kesimpulan
            Jelaslah bahawa sumber sejarah amat penting dalam penulisan sejarah.Penulisan sejarah tanpa sumber sejarah adalah lompong dan menjadi sebuah karya yang tidak ilmiah atau dongengan sahaja. Walaupun terdapat sumber sejarah yang bersifat cerita rakyat yang mempunyai unsur dongengan,namun ia boleh juga menjadi sumber dalam penulisan sejarah melalui penyelidikan sama ada ‘heuristik” atau “kritikan”.Walaupun ada masalah yang timbul dalam proses heuristik dan kritikan sumber,namun sejarawan tidak seharusnya bersikap pesimistik dalam usaha ini. Ahli-ahli sejarah mempunyai nilai-nilai yang berbeza dan sampai kepada bahan-bahan dengan kepercayaan yang berbeza mengenai sesuatu peristiwa. Untuk alasan ini atau lain-lain alasan, ahli-ahli sejarah kerap tiba pada tafsiran yang berbeza mengenai peristiwa yang sama. Misalnya, ramai ahli sejarah melihat Revolusi Perancis sebagai hasil daripada kepercayaan kepada kebebasan  dan persamaan ahli sejarah lain melihat Revolusi Perancis sebagai hasil daripada tuntutan-tuntutan ekonomi daripada satu kelas menengah yang sedang bangkit. Oleh itu, adalah penting untuk dapat menilai tafsiran seorang ahli sejarah secara kritis. Memang ada kelemahan yang menjadikan sukar untuk menghasilkan penulisan sejarah yang muktamad,tetapi sikap tekun dan ikhlas akan membawa penulisan sejarah mendekati kebenaran berdasarkan sumber – sumber yang ada,walaupun tidak sepenuhnya. Kaedah moden seperti kaedah pandang dengar iaitu menggunakan teknologi moden seperti televisyen, internet, video, cakera padat, radio dan pita rakaman telah menjadikan sumber – sumber sejarah mudah diperolehi pada masa ini hasil ledakan perkembangan pesat ilmu sains dan teknologi. Walau apapun kaedah yang digunakan dalam mencari sumber – sumber sejarah, kesahihan sumber menjadi faktor penting dalam penghasilan karya sejarah yang baik dan tepat. Kepentingan sumber sejarah seharusnya tidak lagi dipertikaikan dalam sesebuah catatan sejarah.
BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Hj Abdullah.1994.Pengantar Ilmu Sejarah.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad bin Busu.1996. Asal Usul Masyarakat Kampung Sendiri ( Jeram,Selangor) : Jurnal Malawati : Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Selangor.

Al-marhum raja Ali Al-Haji Riau. 1965. Tuhfat al-Nafis. History.Singapore: Malaysia Publications Ltd.

Arba’iyah Mohd Noor. 2002.Ilmu Sejarah dan Pensejarahan.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bahasa Othman. 1989.Melaka Sejarah Awal Negara Kita. Shah Alam : Marwilis Publisher.

Ishak Saat.2007.Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden.Shah Alam: Karisma Publications.

Mohd Supian Sabtu.2002.Tamadun Awal Lembah Bujang.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin bin Abdul Wahid.1991. Sejarah Malaysia:pentafsiran dan penulisan. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.


Artikel oleh Mr.Sabiq
Orang yang tidak pernah dapat bawah gred A subjek sejarah


No comments:

Post a Comment