Malaysia
adalah sebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa dan kebudayaan. Sebagai
sebuah negara yang berbilang kaum, satu bahasa yang dapat menyatukan semua masyarakat
perlu ada bagi mewujudkan keamanan dan keharmonian. Dalam sebuah masyarakat
majmuk yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan Malaysia, hanya elemen
bahasa yang tunggal sahaja boleh menjadi elemen perpaduan. Perkara ini juga
sudah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu iaitu apabila
bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi. Sewajarnya dengan hakikat itu hari
ini, kita tidak lagi perlu terkial-kial membahaskan mengenai kedudukan bahasa
Melayu. Barangkali kerana gagal meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu
bangsa juga, hubungan mesra antara kaum ketika ini sering kali berkocak. Sebagai
bahasa kebangsaan ia sewajarnya diletakkan di tempat yang paling tinggi dan
sepatutnya menjadi bahasa yang menyatukan bangsa Malaysia. Sebagai bahasa
Kebangsaan juga, bahasa Melayu telah termaktub di dalam perlembagaan
persekutuan perkara 152, yang mana bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam
setiap urusan kerajaan. Dengan penggunaan tunggal bahasa Melayu sebagai bahasa
perantara diantara kerajaan dan masyarakat seharusnya ia menjadi bahasa yang
dapat memantapkan perpaduan diantara kaum.
Bahasa
Melayu mampu melakukan penyatuan ini sekiranya negara hanya menggunakan bahasa
itu dalam sistem pendidikan nasional. Penggunaan pelbagai bahasa di bawah
status 'bahasa ibunda' ternyata melambatkan dan membantut hasrat menyatukan
pelbagai kaum di negara ini menerusi satu bahasa. Malah, ia juga melahirkan
generasi baru yang tidak memperlihatkan jati diri nasional yang bukan sahaja
tidak sama, malah tidak jelas pula. Khususnya dari sudut bahasa dan budaya
kebangsaan, kedua-duanya mementingkan elemen Melayu selaku kelompok dominan
negara. Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan rasmi tidak boleh
dipersalahkan dalam hal kegagalan integrasi dan perpaduan. Namun yang harus
dipersalahkan adalah apabila bahasa-bahasa lain diberi ruang beroperasi di
bawah label bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sektor pendidikan
kerajaan atau swasta.Oleh yang demikian, memartabatkan bahasa Melayu dalam
sistem pendidikan, adalah satu langkah yang tepat dalam memupuk perpaduan
diantara kaum.Dengan sistem pendidikan masa kini yang mewajibkan para pelajar
lulus dalam matapelajaran bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia,
menjadi satu faktor penting untuk semua kaum mempelajari dan menggunakan bahasa
Melayu dengan meluas. Ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di
antara masyarakat berbilang kaum dan boleh dituturkan oleh semua lapisan
masyarakat
Dengan
pelbagai cabaran semasa yang semakin menghakis kepentingan bahasa Melayu ketika
ini, membawa kita merenung sejauh mana bahasa yang telah dipertuturkan lebih
dari 500 tahun ini mampu mewakili kita sebagai bangsa Malaysia. Bahasa Melayu
perlu diperlihat dalam kapasitinya sebagai bahasa negara Malaysia dan tidak
boleh sekali-kali sebagai bahasa ibunda orang Melayu semata-mata. Bagi kelompok
dan lapisan tertentu dalam masyarakat, bahasa Melayu perlu dikuasai dan
digunakan dengan orientasi integratif dan menjadikannya sebahagian daripada
struktur sosial, bukan semata-mata dari dimensi instrumental yang mana bahasa
Melayu hanya penting dalam peperiksaan atau digunakan kerana dikehendaki oleh
undang-undang. Orang Melayu sebagai kelompok dominan juga perlu menunjukkan
kepada kaum lain bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang mampu membawa kemajuan
kepada sesiapa sahaja. Dalam ilmu linguistik, Bahasa Melayu merupakan salah
satu bahasa besar di dunia. Ini diukur antaranya dari sudut penyebarannya yang
menjadi mata pelajaran bahasa asing di lebih daripada 100 buah institusi
pengajian tinggi (IPT) di kira-kira 30 buah negara. Penggunaan bahasa Melayu
yang meluas ini tidak boleh disanggah lagi untuk menjadi sebuah bahasa yang
dapat menyatupadukan masyarakat Malaysia.
Kesimpulannya, Bahasa Melayu yang
pernah menjadi lingua franca di rantau
ini, serta dituturkan oleh lebih 200 juta orang di seluruh dunia, dan kini
menjadi bahasa Kebangsaan yang diajar di setiap peringkat, selayaknya mampu
menjadi bahasa penyatu masyarakat Malaysia serta dapat memantapkan lagi perpaduan
kaum di bumi yang bertuah ini, Malaysia.
Arkitel ini disumbangkan oleh Mr.Sabiq
Orang yang dapat A bahasa Melayu semasa di USM tetapi dapat 5c dalam SPM
Arkitel ini disumbangkan oleh Mr.Sabiq
Orang yang dapat A bahasa Melayu semasa di USM tetapi dapat 5c dalam SPM
No comments:
Post a Comment