Tuesday, March 17, 2020

Bagaimana manusia menggunakan alam sekitar


Sains merupakan satu proses pengumpulan ilmu atau maklumat dan penyusunannya. Proses
mendapatkan maklumat bermula dengan pengalaman, dan kemudiannya mendapatkan fakta dan peraturan daripadaya. Cara sains mengkaji sesuatu perkara adalah dengan Manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam setkitarnya. Hubung kait ini sangat erat terutamanya dalam melihatnya dengan teliti, mengukurnya, membuat uji kaji, dan dengan cuba menerangkan mengapa sesuatu perkara terjadi. Kebanyakan orang menerima kaedah ini sebagai cara yang paling boleh dipercayai untuk mendapatkan maklumat mengenai alam, dunia, badan manusia atau binatang dan lain-lain. Alam sekitar, manusia dan sains saling berkaitan diantara satu sama lain. Manusia sangat memerlukan alam sekitarnya,manakala sains adalah satu cabang ilmu yang digunakan oleh manusia untuk mengkaji alam sekitarnya, supaya sumber yang ada dapat dimanfaatkan dengan sebaik- baiknya oleh manusia. Dalam masyarakat moden, sungguhpun hubungan dengan alam sekitar fizikalnya masih wujud, namun sedikit sebanyak mereka dapat mengubah alam sekitar fizikalnya untuk memenuhi keperluan yang pelbagai.[1] Perubahan dalam teknologi moden yang canggih dan kemampuan ekonomi membolehkan masyarakat moden kini mengubahsuai alam sekitar fizikal untuk memenuhi keperluan. Dalam ilmu geografi alam sekitar memainkan peranan penting dalam kehidupan. Malah definisi geografi itu sendiri menurut Ackerman (1963) merujuk kepada suatu bidang ilmu yang mengkaji dan memberi penjelasan tentang sistem yang berinteraksi secara cepat terhadap semua gabungan budaya manusia dengan alam sekitarnya di permukaan bumi.


Hubungan manusia dengan Alam Sekitar
Perkataan “alam sekitar” atau dalam bahasa Inggeris disebut “invironment” membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan “alam sekitar” adalah menuju kepada apa sahaja yang melingkungi manusia...Terdapat satu lagi definsi alam sekitar. Namun ia lebih kepada kefahaman “environmentalisme“. Dijelaskan bahawa ia merupakan satu istilah geografi tentang doktrin falsafah yang memberikan penekanan terhadap aspek fizikal alam sekitar seperti keadaan iklim dunia yang berkait dengan aktiviti manusia. (A. Bullock & O.Stallybrass, 1997).Kesemua definisi yang dikemukakan di atas secara umumnya menjelaskan alam sekitar adalah keseluruhan fenomena sekeliling yang boleh mempengaruhi kehidupan sesuatu organisma. Definisi ini adalah definisi yang diterima dalam pengajian Sains Alam Sekitar yang hanya terbatas kepada fenomena fizikal sesuai dengan pandangan semesta moden yang berteraskan kepada metode emperikal. (Mohd Nur Hakimi Razana, 2004).Dalam menguruskan alam sekitar, Barat memperlihatkan bahawa etika alam sekitar dalam diri manusia adalah penting bagi menjamin kualiti alam sekitar. Prinsip-prinsip tentang alam sekitar yang dibahaskan oleh Barat tidak harus bersifat teori sahaja sebaliknya mestilah berupaya dipraktikkan. Pengurusan alam sekitar di Barat bermula pada akhir kurun ke -19 kesan daripada Revolusi Industri. Perkembangan itu bermula dengan tercetusnya kebimbangan ke atas kesan yang timbul daripada proses pembangunan ke atas alam sekitar. Oleh itu, mereka berusaha dengan pelbagai kaedah bagi mengawal kualiti alam sekitar daripada terjejas.Namun, walauapapun kaedah atau langkah yang diambil, mereka masih lagi gagal untuk menguruskan alam sekitar dengan berkesan. Apa yang pasti, ini disebabkan gejala “pemencilan pengaruh keagamaan” sebagai salah satu faktor penyumbang kegagalan tersebut.Manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan alam sekitar kerana manusia dijadikan daripada unsur-unsur alam dan akhirnya akan kembali seperti asal kejadiannya. Unsur alam lain seperti air juga mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan manusia kerana ia membina pertumbuhan dan kesihatan daripada manusia. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai Bahawa Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda Yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda Yang hidup? maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (al-Anbiya’, 30) Bahan makanan manusia juga dijadikan daripada unsur air termasuk juga semua jenis haiwan. Ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya yang bermaksud: “Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan Yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan Dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan Dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja Yang ia kehendaki (selain dari Yang tersebut), kerana Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (an-Nur, 45) Menerusi penjelasan dan penerangan berdasarkan dalil-dalil tentang hubungan manusia dengan unsur-unsur tadi, dapat dilihat bahawa hubungan manusia dengan alam sekitar adalah sangat erat saling berkait rapat antara satu sama lain. Dengan ini jelaslah kepada kita betapa jelas dan kompleksnya kejadian manusia dihubungkan terus dengan unsur-unsur bumi. Manusia dan  alam sekitar saling bergantungan diantara satu sama lain. Manusia sangat memerlukan alam sekitar untuk meneruskan kelansungan hidup dimuka bumi ini. Oleh itu manusia melakukan pelbagai kegiatan dan aktiviti ekonomi bagi meneruskan kelansungan ini. Manusia yang mempunyai budaya yang maju berupaya menerokai dan memajukan sumber alam untuk kepentingannya.[2]


Aktiviti – aktiviti manusia mengurus alam sekitar.
Manusia menggunakan sains dan alam sekitarnya dengan cara menjalankan kegiatan – kegiatan ekonomi bagi meneruskan kelansungan hidup dimuka bumi ini. Aktiviti ini adalah aktiviti yang utama ataupun primer, diikuti aktiviti ekonomi kedua atau sekunder dan akhir sekali aktiviti tertier.
Aktiviti Primer (Utama)
Manusia menjalankan aktiviti utama atau primer semenjak dahulu lagi. Aktiviti ini melibatkan aktiviti pengeluaran bahan mentah seperti pertanian, pembalakan, perlombongan dan perikanan. Fitrah manusia memerlukan makanan untuk hidup, untuk itu manusia sejak dahulu lagi berusaha mencari makanan dengan berburu dan mengutip buah – buahan. Ketika tamadun berkembang dan cara hidup semakin maju. Manusia tidak perlu lagi mengutip buah – buahan atau memburu dihutan. Sebaliknya bertani untuk mendapatkan makanan.[3]
Tanaman makanan adalah aktiviti pertanian yang manusia mula – mula manusia lakukan. Tanaman makanan ditanam secara kecil-kecilan dan bertujuan untuk menyara diri dan keluarga. Hasil lebih dijual di pasaran. Di Malaysia tanaman utama bagi sara diri ialah padi sawah dan padi huma. Kawasan tanaman padi sawah di terletak di Dataran Kedah-Perlis, Dataran Kelantan, Dataran Kerian, Delta Rajang (Sarawak), Papar dan Tuaran
(Sabah) manakala padi huma di tanam di tanah tinggi pedalaman Sabah dan Sarawak.
Hasil kemajuan sains dan teknologi serta permintaan ekonomi, tanaman komersial untuk jualan telah berkembang pesat. Ia juga menjadi aktiviti yang terpenting pada masa ini. Dengan perkembangan pesat sains dan teknologi, jentera berat serta racun serangga telah digunakan khususnya dalam tanaman komersial. Dengan penggunaan jentera berat ini sumber manusia dapat dikurangkan manakala hasil pertanian meningkat.

Manusia telah mengubah lanskap bumi dari tanah yang ditumbuhi kepada industri pertanian yang berskala besar di mana tumbuh – tumbuhan hutan dipotong dan dimusnahkan akibat permintaan terhadap pasaran serta potensi ekonomi.[4] Tanaman jualan atau komersial ini ditanam untuk dijual di pasaran tempatan atau dieksport bagi mencari keuntungan seperti tanaman kelapa sawit, getah, koko, nanas, teh, lada hitam, tebu, kopi, sagu,sayur-sayuran dan buah-buahan. Di Malaysia tanaman kelapa sawit paling penting bagi menjana ekonomi. Dengan teknologi moden hari ini kegiatan ekonomi pertanian dapat dijalankan. Jurang perbezaan kemajuan antara sektor industri dibandar hasil sumbangan sains dan teknologi begitu ketara dengan kawasan luar bandar yang menjalankan kegiatan pertanian pada masa dahulu. Namun dengan perkembangan Bioteknologi kini telah menyumbang kearah kemajuan sektor pertanian khususnya diluar bandar.[5]
Hutan hujan tropika adalah khazanah yang sangat bernilai pada bumi kita.Manusia sejak dahulu lagi telah menggunakan hutan dimana tumbuh – tumbuhan dipotong dan hutan dimusnahkan. Tumbuhan dalam hutan hujan penting, tetapi sebenarnya, ia juga adalah sumber penting kepada manusia. Aktiviti pembalakan adalah aktiviti perimier utama bagi kawasan yang ditumbuhi hutan hujan tropika. Kayu balak berkualiti seperti, cengal, meranti, keruing, seraya dan merbau adalah amat bernilai bagi kegunaan manusia dan aktiviti sekunder. Di Malaysia contoh kawasan pembalakan adalah di pedalaman Sandakan, banjaran Crocker (Sabah), pedalaman Sarawak, Ulu Kelantan, Ulu Terengganu dan Jerantut (Pahang). Namun begitu dengan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal telah menyebabkan kerosakan pada alam sekitar bumi. Aktiviti perikanan adalah aktiviti primer yang tidak kurang pentingnya. Pada amnya perikanan terdiri dari perikanan laut dalam iaitu jarak lebih 30 km dari pantai, diikuti perikanan pinggir laut ,perikanan air tawar, akuakultur dan ikan hiasan. Penggunaan bot serta kapal yang berteknologi moden serta penggunaan pukat harimau dan tunda telah merancakkan kegiatan ekonomi perikanan. Namun begitu dengan penggunaan ini boleh menyebabkan kekurangan spesis ikan akibat aktiviti yang berlebihan. Bermulanya revolusi perindustrian telah mengalakkan lagi kegiatan perlombongan pada abad ke  -19. Bahan – bahan mentah sangat diperlukan dari timur khususnya Tanah Melayu pada masa itu. Hasil perkembangan sains dan teknologi dari barat dirancakkan lagi dengan kegiatan perindustrian ini maka perut bumi telah dieksploitasi dengan kegiatan perlombongan. Di Malaysia kegiatan perlombongan adalah kegiatan utama dalam kerancakan ekonomi Malaysia. Perlombongan bijih timah telah wujud sejak sekian lama dan menjadi sumber ekonomi penduduk serta pendatang. Kini  Perlombongan mineral atau galian iaitu gas dan petroleum menjadi sumber kegiatan ekonomi negara. Selain itu perlombongan mineral lain jenis logam seperti: emas, kuprum, bijih timah dan sebagainya turut menyumbang kepada kegiatan perlombongan ini. Perlombongan mineral lain bukan logom seperti, kaolin, batu kapur, arang batu, dan batu marmar juga terdapat di Malaysia. Hasil perlombongan ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya sumber aslinya dan menjana ekonomi negara. Namun begitu banyak kesan yang ditinggalkan dari aktiviti perlombongan ini.
Aktiviti Sekunder
            Kegiatan ekonomi sekunder adalah aktiviti yang melibatkan memproses bahan mentah dari aktiviti premier ini tadi kepada barangan siap yang telah diproses. Sektor perkilangan seperti mengetin makanan, perabot, penghasilan barangan elektrik dan sebagainya telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan serta permintaan. Pada asasnya sektor perindustrian iaitu sektor sekunder terbahagi kepada dua jenis iaitu industri berasaskan sumber dan tidak berasaskan sumber. Industri yang berasaskan sumber ini menggunakan sumber primer sebagai bahan utama seperti pengilangan minyak kelapa sawit, pengetinan buah – buahan dan hasil laut serta produk dari getah dan kayu. Sumber primer ini dihantar ke kilang dan di proses menjadi produk untuk kegunaan manusia. Manakala Industri yang tidak melibatkan sumber adalah seperti industri tekstil, industri elektrik dan elektronik serta industri berat seperti penghasilan kenderaan. Sumber alam telah dieksploitasi sepenuhnya oleh manusia untuk memenuhi keperluan dan permintaan. Banyak kawasan yang diterokai dan dijadikan kawasan perkilangan yang banyak menimbulkan kesan terhadap manusia dan alam sekitarnya.
Aktiviti Tertier.
Sektor tertier adalah sektor yang melibatkan sektor perkhidmatan. Manusia menjalankan sktor tertier bagi memudahkan urusan bagi sektor primer dan juga sekunder. Sektor perkhidmatan ini melibatkan perkhidmatan pendidikan, guaman, perubatan, perniagaan, kewangan, pelancongan, pengangkutan dan sebagainya. Aktiviti tertier telah berkembang dengan pesat semenjak dahulu lagi khususnya aktiviti perdagangan dengan wujudnya jalan laut serta jalan sutera. Sistem barter digunakan pada zaman dahulu bagi menjalakan kegiatan perdagangan. Kini perdangangan dijalankan dengan menggunkan sistem matawang kertas. Aktiviti perdangangan melibatkan aktiviti peruncitan, borong serta perdangangan anatarabangsa. Kegiatan peruncitan dilakukan di kawasan bandar dan luar bandar, ditaman perumahan serta dikampung bagi memenuhi permintaan serta keperluan manusia. Perniagaan secara kecil – kecilan ini telah menjana ekonomi dan memberi manfaat kepada manusia dalam menjalani kehidupan. Dengan kewujudan bandar – bandar besar serta pertambahan penduduk aktiviti perniagaan melibatkan borong telah diwujudkan iaitu pembelian barang secara pukal. Pemborong akan membekalkan barangan kepada peruncit dikawasan perumahan serta kampung. Dengan kewujudan basar borong serta kedai borong, telah merancakkan lagi sektor perdagangan ini. Bahan mentah serta barangan yang dihasilkan dari aktiviti primer dan sekunder sebahagiannya dipasarkan keluar negara, ini menyebabkan wujudnya perdagangan antarabangsa yang melibatkan eksport dan import. Sektor perbankan atau kewangan wujud hasil dari kegiatan perdangangan. Bagi memenuhi keperluan ini institusi perbankan serta pajak gadai telah diwujudkan. Sektor perbankan adalah sektor perkhidmatan yang sangat penting pada masa kini. Keperluan tenaga mahir bagi menjalankan kegiatan ekonomi amatlah diperlukan.Untuk itu perkhidmatan pendidikan telah disediakan dengan kewujudan sekolah serta institut pengajian tinggi bagi memenuhi permintaan ekonomi. Sumber manusia yang berkualiti amat penting bagi menjalankan kegiatan ekonomi bagi sesebuah negara. Dengan perkembangan pesat industri serta kewujudan bandar baru, jaringan perhubungan diperlukan bagi memasarkan produk. Sistem pengangkutan yang baik menjadi salah satu faktor pelabur untuk melabur dalam sesebuah negara. Perkhidmatan pengangkutan yang baik telah diwujudkan serta menjadi sangat penting. Banyak kawasan yang telah di teroka untuk dijadikan lebuh raya, manakala sistem perhubungan menjadi lebih kompleks dengan kepelbagaian bentuk kenderaan serta jumlah kenderaan yang semakin banyak. Sektor pengangkutan ini telah memberi banyak kesan terhadap lanskap bentuk bumi serta cara hidup masyarakat dunia. Sektor  pelancongan adalah aktiviti ekonomi tertier yang menawarkan perkhidmatan seperti ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan budaya dan warisan, pelancongan kapal dan sebagainya. Dengan khazanah alam yang yang banyak bagi sesebuah negara, akan mengalakkan lagi sektor pelancongan dan seterusnya menambah pendapatan penduduk serta ekonomi negara. Alam sekitar seperti hutan hujan tropika, pantai, sungai, bangunan bersejarah yang terjaga dengan baik akan menarik minat pelancong untuk melancong ke sesebuah destinasi. Aktiviti manusia dalam menggunakan alam sekitar dan sains ini memberi kesan terhadap alam sekitar dan manusia. Kesan itu samaada kesan baik atau buruk.
Kesan – kesan akibat manusia menggunakan sains dan alam sekitar
            Sudah menjadi fitrah dan lumrah manusia memerlukan alam sekitarnya untuk meneruskan kehidupan dimuka bumi ini. Budaya manusia juga terbentuk hasil interaksi dengan alam sekitarnya. Manusia dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai khalifah dimuka bumi untuk menguruskan alam sekitarnya serta mentadbir dengan baik. Secara umumnya, kesemua bidang sains mempunyai manfaatnya sendiri. Cuma kadang kala kerana kerakusan manusia, sains telah disalah guna. Contohnya, sains nuklear yang seharusnya dimanfaatkan oleh manusia sebagai alternatif sumber tenaga, telah disalah gunakan menerusi penciptaan bom nuklear yang mengugat keselamatan sejagat. Begitu juga dengan kemajuan pengetahuan manusia dalam bidang sains bioteknologi. Sementara kita menggunakannya untuk tujuan kebaikan, ada juga mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan pengetahuan ini untuk mengaut keuntungan dan mengenepikan soal etika dan mencabar kuasa tuhan.Percubaan untuk mengklon manusia adalah antara isu yang banyak menyebabkan masyarakat melihat sains itu sebagai sesuatu yang buruk dan merosakkan. Pertumbuhan pesat penduduk telah membawa perubahan kepada dunia secara keseluruhan. Pemahaman bagaimana aktiviti manusia boleh menjejaskan persekitaran, membolehkan kita meramal perubahan cuaca. Sebenarnya, ramalan perubahan cuaca ini sangat penting, kerana ia merupakan petunjuk kepada kita bagaimana mengawal bekalan makanan dunia. Kajian saintifik kepada perubahan-perubahan ini dan juga kesannya kepada ekosistem semula jadi dan pengeluaran pertanian penting untuk masa depan masyarakat dunia. Dengan teknologi yang ada, manusia bukan sahaja mendapat manfaat dari bumi, namun pada masa yang sama memusnahkannya, Laporan Penilaian Ekosistem Millenium Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) 2005 memberi amaran bahawa 15 hingga 24 ekosistem global sedang menghadapi masalah kemusnahan. Keadaan dijangka menjadi bertambah buruk dalam masa 50 tahun akan datang. Industri mengakibatkan sisa dan pepejal yang terhasil mencemarkan alam sekitar serta pemandangan. Sebagai contoh lombong bijih timah yang ditinggalkan begitu sahaja, menyebabkan struktur tanah berubah serta ekosistem disekitar kawasan lombong terjejas.
Manusia menjalankan aktiviti ekonomi bermula dengan menebang hutan dan  melakukan aktiviti pembalakan. Aktiviti pembalakan ini memberi manfaat kepada manusia bagi aktiviti pembangunan dan industri pembuatan berasaskan kayu. Namun begitu penebangan hutan yang berleluasa menyebabkan tanah menjadi rata serta struktur tanah menjadi longgar. Ini menjejaskan struktur tanah dipermukaan bumi serta dilereng – lereng bukit, apabila hujan turun air deras membawa lumpur ke sungai. Sungai menjadi keroh dan cetek, ini menyebabkan berlakunya banjir di kawasan tanah rendah dan di kawasan yang tidak mempunyai saliran yang baik khususnya di kawasan lembah Klang. Di kawasan tanah tinggi pula berlaku tanah runtuh akibat penebangan dan pembangunan dikawasan lereng – lereng bukit. Kesemua ini adalah kesan akibat penebangan hutan yang memusnahkan habitat serta alam flora dan membawa kerosakan kepada alam sekitar. Bencana alam yang berlaku juga adalah akibat kerakusan menusia menggunakan sumber alam dengan sewenangnya.
Pada masa ini manusia menjalankan kehidupan banyak bergantung kepada penggunaan sumber asli khususnya minyak dan gas asli. Penerokaan cari gali minyak telah tumbuh bagai cendawan disetiap peosok muka bumi ini. Kegunaan minyak dan gas untuk menjalankan aktiviti ekonomi memang tidak dinafikan lagi kepentingannya. Namun begitu aktiviti perlombongan ini banyak memberi kesan yang buruk terhadap bumi pada masa ini. Pembebasan asap dari bahan api yang dibakar membebaskan gas karbon dioksida dan gas lain. Ini boleh mengubah campuran gas dalam atmosfera yang kemudiannya boleh menukar iklim di seluruh dunia dikenali sebagai kesan rumah hijau. Gas lain seperti Cloro Floro Carbon (CFC) boleh memusnahkan lapisan ozon, lapisan ozon di atmosfera amat penting bagi melindungi daripada sinaran matahari yang merbahaya. Semua ini boleh mengakibatkan perubahan iklim dan persekitaran bumi. Indusri juga mengakibatkan sisa dan pencemaran. Jika tidak dikawal keadaan ini boleh mencemarkan pemandangan alam seperti lombong timah yang ditinggalkan.[6] Industri berkembang dan bermula dengan pertanian dagangan muncul bagi menyediakan bahan – bahan mentah untuk kilang – kilang di Eropah dan Amerika Syarikat. Keadaan ini menyebabkan banyak tanah – tanah diteroka dan ladang – ladang diwujudkan.[7] Dengan penerokaan tanah untuk untuk industri telah menyebabkan banyak bandar – bandar diwujudkan dan berkembang pesat. Kebanyakan penduduk dunia tinggal di kawasan pusat bandar. Kewujudan metropolitan ini mewujudkan satu persekitaran yang unik. Manusia menggunakan sumber yang banyak untuk keperluan penduduk bandar seperti bekalan air, elektrik, makanan,tenaga, dan sebagainya. Ini menyebabkan masalah persekitaran serta pemanasan global.[8] Pemanasan global adalah isu antarabangsa yang besar. Pemanasan global berlaku akibat dari bagaimana cara manusia menggunakan sains dan alam sekitar sekelilingnya. Kesan buruk yang lebih banyak dari kesan bermanfaat dari aktiviti manusia telah memburukan lagi keadaan. Namun begitu dengan adanya kesedaran bagi banyak pihak dalam menjaga alam sekitar telah
 mampu sedikit sebanyak menyelamatkan bumi ini. Pendidikan ilmu kemanusian seperti ilmu geografi dari peringkat rendah sehingga peringkat universiti amat penting bagi mendidik manusia kearah kesedaran terhadap alam sekitar. Sains dan teknologi tidak membawa keburukan, manusia yang menggunakannya dengan cara tidak berkhemah telah banyak merosakkan muka bumi ini dengan pencemaran serta bala bencana akibat tangan- tangan manusia sendiri.


Kesimpulan.
Sumber alam ialah sumber semulajadi yang terdapat didalam atau dipermukaan bumi. Sumber alam terbentuk secara semulajadi dan mengambil masa yang lama. Antaranya ialah air,udara,mineral,tanah dan hutan. Sumber ini amat berguna kepada manusia kerana tanpanya manusia tidak dapat memenuhi keperluan yang pelbagai. Sumber alam ini terbahagi kepada yang boleh diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui. Sumber yang boleh diperbaharui seperti air,udara,ombak,angin dan solar.Manakala sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti petroleum dan gas. Namun begitu ada sumber yang boleh dikitar semula seperti logam,besi aluminium dan sebagainya. Keinginan manusia untuk terus maju dan meningkatkan taraf kehidupan menyebabkan sumber alam ini terus diterokai. Kemajuan sains dan teknologi menjadi pemangkin kepada manusia untuk menggunakan sumber alam yang ada didunia ini dan alam sekitarnya. Manusia menggunakan ilmu sains yang ada untuk terus meneroka sumber alam, ini menyebabkan penggantungan manusia dengan alam sekitarnya bertambah kuat. Ketiadaan  teknologi canggih pada masa dahulu telah menyebabkan banyak sumber semulajadi tidak dapat diterokai dan ditemui. Dengan teknologi sains yang ada sekarang, banyak komponen yang dihasilkan dari sumber semulajadi dikitar semula seperti kertas, tin aluminium, kotak kertas dan sebagainya. Di sesetengah negara maju sampah sarap tidak lagi dibakar atau dilonggokkan di tempat pelupusan sampah. Tetapi dijadikan bahan baker untuk menjana tenaga elekterik. Begitu juga dengan habuk gergaji yang dulu dibuang begitu sahaja, kini dijadikan bahan dalam pembuatan perabot. Tidak keterlaluan teknologi sains yang ada pada hari ini menjadi pemangkin kepada kepada perubahan tanggapan terhadap sumber dan ini dipercepatkan lagi dengan kemampuan ekonomi. Teknologi sains yang canggih ini digunakan manusia dengan sepenuhya untuk meneroka sumber alam.Namun begitu kerakusan manusia telah menyebabkan berlaku kerosakan dimuka bumi ini.
BIBLIOGRAFI


Chan Foi Onn dan Mohd Ekhwan.2004.Geografi Alam Sekitar Fizikal:Kuala Lumpur.Penerbit Fajar Bakti.

Dougal Dixon.1991.The Big Book Of The Earth.Oxford : Reed E ducational and Professional Publishing.

E.H.G. Dobby.1982.Asia Tenggara: Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala Lumpur.

F.J. Monkhouse.1972. A Dictionary of Geography (Second edition).London.Edward Arnorld Publisher.

Foong Sim Khin.1990.Geografi. Amerika Utara.Kuala Lumpur:Kumpulan Budiman.

Goh Cheng Leong and Gillian C.Morgan. 1972.Human and Economic Geography:Petaling Jaya.Oxford University Press.

Jose and Parramon Editorial Team.2006.Essential atlas of Physical Geography: Barcalona.Barron’s Educational Series.

Katiman Rostam.2002. Prinsip Asas Persekitaran Manusia : Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Keng Su Seng.2005.Geografi Alam Sekitar Manusia:Petaling Jaya.Oxford University Press.

Rusly Musa dan Nurashikin Abdullah.2010.Geografi Alam Sekitar Manusia : Petaling Jaya. Penerbit Pearson Longman.

Mahani Abu Bakar.2008.Penggunaan Teknologi Moden Dalam Pertanian : Kuala Lumpur.Pustaka Segar.



[1] Keng Su Seng.2005.Geografi Alam Sekitar Manusia:Petaling Jaya.Oxford University Press.hlm 2

[2]  Katiman Rostam.2002. Prinsip Asas Persekitaran Manusia : Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm 47
[3] Dougal Dixon.1991.The Big Book Of The Earth.Oxford : Reed E ducational and Professional
  Publishing hlm75.
[4]  Jose and Parramon Editorial Team.2006.Essential atlas of Physical Geography: Barcalona.Barron’s
     Educational Series.hlm 86.
[5]  Mahani Abu Bakar.2008.Penggunaan Teknologi Moden Dalam Pertanian : Kuala Lumpur.Pustaka Segar.hlm 43.

[6] Dougal Dixon.1991.The Big Book Of The Earth.Oxford : Reed E ducational and Professional Publishing.hlm 75

[7]  E.H.G. Dobby.1982.Asia Tenggara: Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala Lumpur.hlm 465

[8] Jose and Parramon Editorial Team.2006.Essential atlas of Physical Geography: Barcalona.Barron’s Educational Series.hlm 88


Artikel ini di sumbangkan oleh m.sabiq 

seorang yang tidak pernah dapat gred bawah A bagi subjek sejarah dan sastera


No comments:

Post a Comment